Ibu bapa kesal guru cuba songlap RM50 Bantuan Awal Persekolahan

0
2

SEORANG guru di sebuah sekolah didakwa telah memberi wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tidak mencukupi daripada jumlah yang sepatutnya kepada ibu bapa pelajarnya

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita di laman TikTok yang kesal dengan tindakan guru lelaki itu, seperti memasang niat tidak baik berhubung pembayaran BAP.

Wanita yang dikenali sebagai Shuhada itu mendakwa guru di sekolah anaknya berlaku tidak jujur apabila hanya menyerahkan bayaran BAP sebanyak RM100, iaitu kurang RM50 daripada yang diperuntukkan kerajaan.

Dalam video berdurasi hampir 3 minit itu memaparkan ibu itu menyedari perkara itu ketika hadir untuk menuntut wang BAP bagi ketiga-tiga anaknya yang belajar di sekolah sama.

“Hari ini saya pergi ambil duit bantuan awal persekolahan tu. Setiap murid dapat RM150. Kat sekolah tu ada tiga anak, saya pergi hari ini.

“Kelas pertama anak saya yang darjah lima, betul dapat RM150. Kemudian saya ke kelas nombor dua, anak yang bongsu darjah dua. Cikgu lelaki… dia bagi kat saya RM100,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan jumlah yang kurang diterimanya, Shuhada bertanya kepada guru lelaki tersebut mengenai jumlah sebenar yang sepatutnya diterima setiap murid iaitu RM150.

“(Dia cakap) tak, RM100. Aku tak cakap banyak, aku ambil. Aku tulis surat apa semua, aku ambil,” katanya sambil tidak memberitahu nama sekolah tersebut.

Kemudian, Shuhada telah pergi ke kelas anaknya di kelas tahun enam dan meminta penjelasan mengenai BAP daripada guru anaknya itu.

Guru kelas anaknya yang merupakan guru wanita, memberitahu setiap murid layak menerima BAP bernilai RM150 seorang.

“Cikgu, saya nak tanya bantuan awal ni bukan RM150 ke? Cikgu tu jawab ye puan, RM150.

“Masalahnya, cikgu tadi tu dia bagi kat saya RM100. Kalau ada penolakan duit PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau apa-apa ke, kena cakap.

“Saya tanya… bukan RM150 ke? Dia boleh cakap RM100. Kalau dia silap, tak logik kot,” katanya.

Aduan Shuhada itu ternyata mengejutkan guru wanita berkenaan, lantas bertindak berjumpa dengan guru lelaki tersebut.

“Saya pun pergi. Cikgu tu (yang didakwa) dengan muka tak bersalah keluarkan duit daripada fail dan beri kepada cikgu perempuan dan cikgu perempuan beri kat saya RM50.

“Lepas tu aku cakaplah, cikgu fikir sendiri la, saya tanya… bukan RM150 ke? Dia boleh cakap RM100. Kalau dia silap, tak logik kot,” katanya.

Shuhada kemudiannya telah berkongsi kejadian itu di dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa murid sekelas anaknya.

Telahannya tepat, apabila terdapat ibu bapa yang menerima nasib sepertinya apabila guru berkenaan hanya memberikan RM100 untuk BAP.

“Dah ada mak bapa yang bersuara. Katanya kenapa bantuan ni dapat RM100, ada yang dapat RM150? Nampak sangat cikgu tu macam nak songlap (ambil) duit.

“Dah la awal tahun ni ada kes cikgu kena samun duit,” kata Shuhada yang berkongsi tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp tersebut.

Susulan itu, seorang guru yang turut berada dalam kumpulan WhatsApp yang sama telah meminta ibu bapa yang hanya menerima RM100 BAP untuk tampil ke sekolah bagi menuntut baki RM50.

Sementara itu, Malaysiapost telah menghubungi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan masih menunggu maklum balas berhubung dakwaan itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here