Rayuan Najib mungkin akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan

0
2

TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah membayangkan kemungkinan besar rayuan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan.

Ketua pasukan peguam Najib itu berkata, keseluruhan rayuan kes berkenaan berkemungkinan besar akan dibicarakan semula sekiranya Mahkamah Persekutuan yang dibarisi oleh lima panel hakim lain, bersetuju dengan hujahan untuk permohonan semakan sabitan dan hukuman bagi kes SRC International.

“Jika mereka (Mahkamah Rayuan) bersetuju dengan saya, dua perkara boleh berlaku. Mereka membuat perintah supaya keseluruhan perkara itu dibicarakan semula di hadapan Mahkamah Persekutuan.

“Keseluruhan rayuan itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan. Saya rasa itu kemungkinan besar berlaku,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri, kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International

Terdahulu, seramai lima panel hakim mula mendengar semakan yang difailkan oleh Najib bagi menyemak semula keputusan mahkamah yang mengekal sabitan, hukuman dan denda terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bermula jam 9.43 pagi tadi.

Mereka ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebil Sebli, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Selain itu, Muhammad Shafee berkata, situasi jangkaan lain iaitu Mahkamah Rayuan juga boleh memerintahkan supaya keseluruhan perbicaraan bagi kes itu kembali semula ke Mahkamah Tinggi.

“Tetapi jika mereka bersetuju dengan permohonan menolak kelayakan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mereka boleh memerintahkan supaya semuanya kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

“Bukan untuk rayuan sahaja, (tetapi) untuk keseluruhan perbicaraan bermula dari Mahkamah Tinggi,” katanya. .

Sementara itu, belum pun sempat prosiding semakan bermula, bekas Perdana Menteri itu menerusi Muhammad Shafee membantah seorang daripada lima panel hakim untuk mendengar permohonan semakan itu.

Muhammad Shafee membantah komposisi panel hakim yang turut menyenaraikan nama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais kerana beliau merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, Najib selaku pemohon mestilah menunjukkan wujud keadaan bahaya atau berat sebelah apabila Abu Bakar dimasukkan dalam senarai panel itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here