Nurul Huda Abhar
POLIS dan masyarakat berpisah tiada. Itu ungkapan sering kita dengar berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal kesejahteraan dan keamanan negara.
Kini, penggunaan media sosial terutamanya Facebook (FB) dalam menyalurkan maklumat dan informasi terkini digunapakai semua organisasi rasmi, termasuk PDRM.
Akaun FB Polis Daerah Penampang, Sabah mencuit hati netizen dengan cara mereka membalas setiap komen.
Pemilik akaun bernama Richard Chua, mengakui terhibur dengan cara “admin” tersebut yang mesra dan kelakar sehingga menyatakan hasrat mahu berkenalan.

“Siapa baini (bah ini) pulis (polis) yang “on duty” menjawab soalan ni…”salute” sama ko pulis yang on duty jawab soalan, kelakar tapi mesej PADU! Buli (boleh) berkenalan? Mo (mahu) minta otograp (autograf) bah,” katanya.
“Saya terhibur membaca komen..hilang juga stress ..terima kasih tuan admin..teruskan perjuangan..saya doakan kamu semua dijauhi dari Covid-19 ni,” tulis Jessica Chu.
“Lucu ooo komen kamu ni…tapi saya sokong Polis Daerah Penampang walaupun kelakar tetapi sikap tanggungjawab mesti ada untuk rakyatnya,” tulis Azman Hashim.
Sementara itu, ada juga pemilik akaun yang menganggap “admin” yang membalas semua komen di FB itu bukan dalam kalangan polis yang bertugas di lapangan.
Namun, komen tersebut dibalas dan ramai yang terhibur dengan cara balasan daripada admin.

“Silap… Admin adalah sebahagian daripada Frontliners (barisan hadapan) yang berseragam. Kadang-kadang Admin ada di roadblock (sekatan jalan raya), kadang-kadang di pos statik, kadang-kadang ada di balai.. Tapi kadang-kadang juga ada di hatimu chia..chia..chia,” tulisnya.
Rata-rata pengikut FB di halaman tersebut berpendapat cara penyampaian dan tulisan “admin” itu lebih mesra dan mudah difahami.

Mereka menyatakan FB Polis Daerah Penampang itu telah membuka stigma baharu kepada imej PDRM dalam penyampaian maklumat yang lebih bersahaja dan menghiburkan. – Malaysiapost

