Kerajaan setuju wujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak

0
2

MESYUARAT Kabinet hari ini bersetuju mewujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menangani isu berkaitan kanak-kanak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta mempengerusikan Jawatankuasa Sosial untuk meneliti semua masalah yang terkait.

“Kita (Jemaah Menteri) juga putuskan tentang perlantikan atau kewujudan Pesuruhjaya Kanak-kanak untuk menganggotai Suhakam.

“Ada satu cabang khas yang berkuasa di bawah Suhakam kerana terlalu banyak masalah perlecehan dan penderaan serta masalah sosial berkaitan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu turut disertai, Ahmad Zahid; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, Jawatankuasa Sosial itu juga di bawah penyelenggaraan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri.

“Kabinet dah putuskan jadi kena tubuhkan segera. Nama-nama yang akan membarisinya akan diumumkan, tetapi saya minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri berikan cerakin terperinci dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata turut dikemukakan dalam mesyuarat hari ini adalah cadangan tambahan jawatan hakim Mahkamah Tinggi untuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, cadangan itu akan diberikan sedikit keutamaan terutamanya mengenai penambahan jawatan kerana meningkatnya kes di Sabah dan Sarawak.

“Proses perlantikan hakim-hakim ini kalau ikut dalam Peraturan Fasal Perlembagaan memang dirujuk kepada Yang di-Pertua Sabah dan Sarawak sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Terdapat juga keperluan melihat kedudukan bangunan mahkamah di Sabah dan Sarawak yang ada dikesan agak daif,” katanya.

Anwar berkata, selain itu kerajaan juga mahu mengangkat peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperingkat antarabnagsa.

“Jadi kita anjurkan supaya SPRM terlibat dalam institusi antarabangsa ‘The Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authorities’ (GlobE Network). Ini supaya mendapat pendedahan untuk lebih kuat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here