Tawan Selangor: PAS umpama bermimpi di siang hari, dakwa PKR

0
1

PKR Selangor mendakwa PAS umpama ‘bermimpi di siang hari’ berhubung keyakinan parti itu untuk menawan negeri berkenaan pada Pilihan Raya negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin, berkata pihaknya optimis dapat mengekalkan negeri itu dalam PRN akan datang, berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri khususnya daripada segi soal kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.

Katanya lagi, perbandingan antara Selangor dengan Kelantan atau Terengganu akan menjadi batu asas untuk mengukur sejauh mana kecekapan pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkait peruntukan RM100 juta untuk memperbaiki dan kerja melebarkan jalan di seluruh negeri menunjukkan tekad negeri mengurus kemudahan asas terbaik rakyat.

“42 program Iltizam Selangor Penyayang 2022 memberi manfaat begitu besar buat rakyat Selangor termasuk mereka yang berhijrah dari negeri ditadbir PAS kerana kegagalan menyediakan peluang pekerjaan.

“Cukuplah rakyat ditipu dengan fitnah jahat PAS, buat rakyat Selangor usahlah dilacurkan negeri yang telah melalui kebangkitan selama lebih 15 tahun kepada ahli politik rakus Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kemenangan PAS di enam kerusi Parlimen Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, hanyalah atas kempen jijik berasaskan fitnah sentimen perkauman dan Agama.

“Dari parti tin milo kini mampu berbelanja besar sehingga beratus juta ringgit dari sumber yang meragukan untuk membayar ‘influencer’ berkempen di media sosial pada PRU15 khususnya TikTok.

“Maka tidak hairanlah dakyah songsang PAS tersebar begitu pantas mempengaruhi pengundi yang cetek pengetahuan tentang politik dan agama,” katanya.

Malah, beliau berkata, prestasi menakjubkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan juga mempengaruhi sentimen rakyat yang akhirnya sedar bahawa apa yang dimomokkan PAS selama ini hanya dusta belaka.

“Dunia mengiktiraf kebangkitan Malaysia, ramai yang terpaksa menahan diri dan terkagum-kagum melihat Kerajaan Perpaduan melakukan apa yang gagal dilakukan PAS selama lebih 30 bulan berada di Putrajaya,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Selangor Ahmad Yunus Hairi yakin parti itu dan PN mampu mengambil alih kerajaan Selangor daripada PH pada PRN akan datang.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada keputusan PRU15 yang mana gabungan itu tewas di enam kerusi Parlimen di Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here