Polis tahan 3 lelaki samun wang RM1.6 juta

0
3

POLIS tahan tiga lelaki kerana menyamun seorang pekerja sebuah syarikat wang kripto yang membawa beg berisi wang tunai RM1.6 juta di tempat letak kereta di pusat beli belah di Kepong, pada 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 31 dan 42 tahun ditahan secara berasingan di sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

“Mereka ditahan dalam serbuan berasingan. Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM1.03 juta, beberapa jongkong emas dan barang kemas,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Saiful Azly berkata, siasatan awal mendapati suspek menghabiskan sejumlah wang untuk membeli sebuah kereta.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek mengekori mangsa kira-kira lima hari sebelum kejadian. Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah itu direman hingga 22 Oktober ini,” katanya.

Saiful Azly turut menasihatkan pemilik premis yang berurusan dengan wang tunai untuk tidak mengarahkan pekerja menggunakan laluan yang sama setiap hari bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah.

“Mereka juga disarankan menggunakan syarikat kawalan keselamatan supaya tidak menjadi sasaran penjenayah,” katanya. -Malaysiapost