Ahli Umno perlu terima, akur ketetapan PAU – Hang Tuah

0
3

Najamuddin Mohd Nor

SEMUA ahli Umno perlu menerima dan akur ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang memuktamadkan tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Ketua Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din berkata, keputusan itu telah diputuskan perwakilan dalam PAU 2022 yang merupakan hasrat akar umbi parti untuk mengekalkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

“Hampir 98 peratus perwakilan berdiri dan menyatakan sokongan usul berkenaan di Dewan Merdeka, jadi itulah hasrat akar umbi yang mahu kedua-dua pemimpin tertinggi parti mengemudinya selama lima tahun lagi.

“Perlu diingat, perwakilan PAU itu adalah cerminan atau mewakili suara akar umbi ahli Umno dari seluruh negara.

“Jadi sebagai orang parti, suka atau tidak, kena akur, demokrasi telah pun dilaksanakan dalam Umno yang mahu kedua-dua jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mengulas lanjut, Hang Tuah berkata, Umno kena mengorak langkah serta memandang terus ke hadapan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu untuk menjadikan parti ini sebagai parti yang membela nasib mereka.

Jelasnya, Umno memiliki masa lima tahun untuk membuktikan parti itu kekal relevan sebagai parti yang memainkan peranan mendukung hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia.

“Biduk berlalu kiambang bertaut, PAU 2022 telah berakhir, saya menyeru kepada semua ahli Umno untuk kembali rapatkan saf, menggalas tanggungjawab mengembalikan kepercayaan parti keramat ini kepada rakyat khususnya orang Melayu.

“Kita perlu ada bergerak ke arah menjadi parti yang lebih baik daripada sebelum ini, selepas kalah pada PRU15 lalu, kita ada lima tahun untuk membuktikan Umno terus relevan sebagai parti untuk orang Melayu sekali gus menambat semula hati rakyat,” katanya.

Justeru, Hang Tuah berkata, sudah sampai masanya ahli Umno mengurangkan politik dalaman parti yang selama ini telah menganggu gugat keharmonian parti.

“Umno perlu harmoni, Umno perlu mencipta suasana yang kondusif. Sudah-sudahlah berpolitik yang hanya merugikan parti dan menjadikan kita berpecah belah.

“Pastinya ketetapan PAU 2022 itu tidak mahu dan mengelakkan perpecahan dalam Umno terus berlaku.

“Yang penting sekarang, kita kena bersatu dalam mengukuhkan parti selain mewujudkan suasana yang harmoni tanpa pergeseran antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here