DOKTOR di Hospital Pasir Mas, Kelantan, didakwa tidak mengamalkan etika kedoktoran apabila enggan memberi rawatan sewajarnya terhadap seorang budak lelaki yang mengalami kemalangan motosikal.
Wanita menggunakan nama Azimah Abdullah Zawawi di Facebook (FB), melahirkan rasa tidak puas hati terhadap layanan kakitangan hospital terbabit ketika anaknya mendapatkan rawatan pada 14 Januari lalu.
Beliau memaklumkan anak lelakinya cedera dan terdapat kesan retakan serta patah dagu selepas mukanya tersemban ke ‘handle’ motosikal yang ditungganginya akibat brek mengejut.
Dia mendakwa, doktor yang bertugas waktu itu hanya memberi jahitan di bahagian mulut dan dikatakan enggan melayan permintaan agar anaknya dimasukkan ke wad untuk pemantauan pihak hospital.
Menurut luahan ibu itu, doktor berkenaan memberi alasan katil tidak mencukupi dan jumlah pesakit yang ramai, menyebabkan anaknya tidak dapat dimasukkan ke wad.
“Perasaan sebagai ibu terasa tidak yakin untuk membawa pulang kerana anak saya masih muntah dan tidak bermaya. Saya merayu agar anak saya dimasukkan ke wad untuk pantauan hospital.
“Doktor berkenaan menolak permohonan saya dengan alasan hospital kekurangan katil dan ramai pesakit.
“Berkali-kali saya merayu untuk anak saya ditahan tetapi tidak diendahkan kerana alasannya dia nak menyelesaikan kes lain,” dakwanya menerusi hantaran di FB.
Bercerita lanjut, wanita itu berkata, suaminya juga cuba untuk memujuk doktor hospital berkenaan untuk membenarkan anaknya ditahan di wad, namun sebaliknya mereka menerima jawapan yang agak angkuh daripada ahli perubatan itu.
“Dengan angkuh dan sibuknya doktor tersebut menjawab: saya penat, banyak lagi ‘patient’ saya nak tengok.. saya banyak kerja.
“Dengan kecewanya kami membawa anak kami dengan menaiki kenderaan sendiri menuju ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan keadaan anak muntah dan tidak tahu kondisi sebenar ketika itu,” kongsinya lagi.
Apa yang memeranjatkan, katanya, doktor di HUSM memaklumkan anaknya mengalami keretakan di bahagian muka dan dagu selain jahitan awal terpaksa dibuka dan dijahit semula kerana ‘daif’.
“Luluh hati ibu bila mendengar anak terpaksa melalui rawatan semula jahitan dan memasukkan besi ke mulut. Jahitan asal terpaksa dibuka semula ibarat proses kerja dari A to Z semula,” katanya.
Sehubungan itu, dia akan membuat aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, wakil Hospital Pasir Mas ketika dihubungi Malaysiapost memaklumkan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan berkenaan.
“Kami ambil maklum perkara itu namun buat masa ini kami tidak boleh beri apa-apa komen kerana siasatan masih sedang dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

