MESKIPUN memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan kekurangan telur hanya sejuta biji sahaja pada Disember.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu boleh dibanggakan kerana dalam tempoh sebulan MAFS berjaya mengurangkan jurang besar ketiadaan telur ayam di pasaran.
“Alhamdulillah dengan kerja keras warga MAFS pada bulan Disember, kekurangan telur hanya 1 juta biji sahaja.
“Pada saya ini suatu pencapaian yang membanggakan kerana dalam tempoh sebulan, MAFS telah berjaya mengatasi kekurangan telur daripada 157 juta biji pada bulan November 2022 kepada 1 juta biji pada bulan Disember 2022,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada sesi pemukiman Jemaah Menteri Ahad lalu, MAFS telah diumumkan menduduki tangga tercorot antara kementerian Kerajaan Perpaduan dengan mendapat penilaian kosong.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ketika ini MAFS telah berjaya mengatasi masalah bekalan ayam yang kembali stabil di pasaran.
“Alhamdulillah sekarang ini bekalan ayam dan telur sudah mula pulih dan insyaAllah akan kembali stabil tidak lama lagi,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Kota Raja itu menegaskan beliau percaya atas usaha dan komitmen MAFS dapat menyelesaikan semua isu berkaitan bekalan makanan akhirnya.
“Pada saya komitmen dan kemampuan pegawai dan kakitangan saya di MAFS untuk menyelesaikan semua isu-isu bekalan makanan amat tinggi dan mereka sangat profesional. Saya amat yakin dengan keupayaan semua warga MAFS.
“Sebab itulah dalam amanat saya semalam saya telah meletakkan 5 agenda penting untuk dilaksanakan tahun ini.
“Antaranya ialah memulakan tanaman jagung bijian (grain corn) bermula tahun ini supaya tahap kebergantungan industri terhadap sumber jagung bijian dari negara luar dapat dikurangkan dari setahun ke setahun. Saya yakin warga MAFS mampu melaksanakannya,” katanya. – Malaysiapost

