BAP: Galakkan bayaran terus ke akaun bank murid – Radzi Jidin

0
1

SELAIN dapat mengelak kejadian samun, pembayaran terus menerusi akaun bank murid dapat meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa banyak pihak.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini, beliau sentiasa menggalakkan bayaran bantuan awal persekolahan (BAP) dibayar melalui akaun bank murid daripada kaedah manual yang agak melecehkan.

“Sewaktu di KPM dahulu, saya sentiasa amat menggalakkan usaha supaya bayaran bantuan awal persekolahan dibuat terus ke dalam akaun bank murid.

“Pendekatan memasukkan terus bantuan ini ke akaun bank murid dapat meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa banyak pihak. Ibu bapa tidak perlu datang beratur di sekolah. Guru pula tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah.

“Apabila dibuat secara manual di sekolah, ibu bapa juga perlu menandatangani beberapa helaian kertas dan guru perlu memastikan proses dilaksanakan satu persatu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian mengulas kejadian samun wang bantuan awal persekolahan yang menimpa seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Semenyih, semalam.

Guru besar berkenaan yang baharu sahaja mengeluarkan wang tunai sebanyak RM100,000 daripada sebuah bank, bernasib malang apabila keretanya dipecah masuk ketika dia sedang membeli minuman di sebuah kedai.

Sebelum itu, dia dilaporkan telah meletakkan wang berkenaan di ruang bawah tempat duduk pemandu sebaik sahaja keluar daripada bank, yang kemudian meninggalkan keretanya sekejap untuk membeli air minuman di kedai bersebelahan bank berkenaan.

Menjelaskan mengenainya, Radzi percaya kejadian samun itu adalah peristiwa hitam dalam kehidupan guru tersebut.

Namun menurutnya, kejadian samun itu mesti dielakkan berlaku lagi pada masa akan datang melalui kaedah yang selamat.

“Bagi seorang pentadbir sekolah, kejadian samun melibatkan wang Bantuan Awal Persekolahan yang dikeluarkan oleh seorang guru besar tentunya merupakan satu detik hitam dalam hidup mereka.

“Selain daripada itu, pembayaran ke akaun murid juga memastikan tatacara pengurusan kewangan yang teratur dan selamat. Ini dapat mengelakkan kejadian kehilangan tunai sepertimana yang berlaku semalam berulang lagi,” katanya.

Radzi juga menegaskan, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat mesti dipatuhi sekiranya pihak sekolah mahu menggunakan kaedah pembayaran tunai secara manual.

“SOP yang ketat mestilah dipatuhi oleh Ketua Jabatan mengikut Arahan Perbendaharaan (AP) 137 – Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan.

“Semoga usaha untuk menggalakkan pembayaran terus ke akaun bank murid dapat dipergiatkan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here