EXCO Pertanian dan Industri Makanan Terengganu, Dr Azman Ibrahim, mempelawa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu untuk menikmati roti canai telur di negeri itu.
Pelawaan itu susulan ‘menghargai’ tindakan Mohamad mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menghantar bekalan telur ayam ke negeri itu bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Terima kasih YB Menteri. Ada masa jemputlah mari makan roti canai telur di Terengganu,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu membalas sindiran Azman mendakwa bekalan 340,000 telur yang dibawa masuk FAMA ke Terengganu adalah telur tempatan dan bukan dari India.
Mohamad berkata, sebenarnya beliau sendiri yang mengarahkan FAMA Terengganu supaya menghantar bekalan telur berkenaan ke negeri tersebut.
“Untuk pengetahuan YB (Azman), yang mengarahkan FAMA menghantar bekalan ke Terengganu sejak bulan lepas sehingga sekarang adalah Menteri MAFS,” tulis Mat Sabu dengan emoji menutup mulut.
Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi membalas kenyataan Mat Sabu itu dengan mendakwa, beliau tidak ada mendakwa bahawa bekalan telur berkenaan adalah usaha Kerajaan Terengganu.
“Exco Terengganu pun tak ada ‘claim’ apa-apa yang menyatakan bahawa Kerajaan Terengganu yang bawa masuk telur kan? Itu telur dari ladang di Melaka yang dibawa masuk oleh FAMA Terengganu,” katanya.
Azman dalam hantaran di Facebook dua hari lalu berkata, FAMA Terengganu membawa masuk lebih 340,000 telur ayam bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.
“Sebagai langkah jangka pendek dan penyelesaian sementara, bermula dari pertengahan Disember 2022, FAMA Terengganu telah membawa masuk lebih 340,000 bekalan telur dari negeri lain ke Terengganu sebagai langkah bagi mengatasi isu kekurangan bekalan.
“Ini adalah telur tempatan dan bukan dari Tamil Nadu,” katanya. – Malaysiapost

