KERAJAAN menganggarkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang akan berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei depan, mampu menjana nilai kontrak mencecah RM8 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, LIMA’23 akan menjadi lokasi untuk pemain industri bertukar pandangan selain turut menjalinkan kerjasama antara negara.
“Kita jangkakan lebih banyak lagi perjanjian-perjanjian persefahaman yang akan dimeterai antara negara dan syarikat.
“Empat tahun LIMA ini tidak diadakan, jadi banyak negara di rantau Asia Pasifik sedang teliti dan menilai untuk beli aset dan juga perolehan.

“LIMA’23 merupakan tempat pemain industri pertahanan udara dan maritim untuk tukar pandangan serta jalin kerjasama teknologi,” katanya.
Beliau berkata, LIMA yang mula dianjurkan pada 1991 merupakan pameran aeroangkasa dan maritim terbesar rantau Asia Pasifik.
“LIMA’23 dijangka bakal menjadi penganjuran terbesar sejak diperkenalkan dengan penyertaan lebih 600 pempamer daripada 30 negara,” katanya. – Malaysiapost

