Pencemaran air: Pengkhianat alam sekitar ambil kesempatan pada hari cuti

0
3

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN sedang menyiasat beberapa kawasan dan kilang yang dikatakan menjadi punca pencemaran sumber air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan Rantau Panjang yang mengakibatkan lebih 1.1 juta akaun pengguna terjejas.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun pencemaran kali ini tidak seteruk seperti awal September lalu, namun siasatan terperinci tetap dijalankan.

“Jika kita tengok paten yang berlaku, pencemaran ini akan dilakukan pada tengah malam atau hujung minggu. Penjenayah alam sekitar ini melakukan kerja mereka sewaktu hari cuti.

“Mereka sengaja mengambil kesempatan pada waktu itu. Ingin saya tegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan apa yang berlaku,” katanya selepas tinjauan di LRA Sungai Selangor Bestari Jaya, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, mengambil kira keperluan orang ramai terhadap bekalan air bersih semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan kini dalam usaha memperbanyakkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

”Jika berlaku sebarang pencemaran sungai, kita ada ambil dari sumber kedua iaitu TAPS. Ia boleh menampung sekurang-kurangnya beberapa jam sebelum sumber air sebenar dipulihkan.

“Jadi sumber alternatif sangat penting. Ini kerana kita tidak boleh jangka pencemaran bila boleh berhenti sebab selagi ada pengkhianat, selagi itu ia akan berlaku.

“Selain itu, kita merangka untuk menambah “reserve margin” keperluan air sedia ada. Jika berlaku gangguan pengguna masih dapat menggunakan air seperti biasa,” ujarnya.

Sejak awal hari ini, lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat LRA akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi. – Malaysiapost