Sindiket curi kabel TM tumpas, 19 suspek ditahan

0
2

SERAMAI 19 individu ditahan termasuk sub kontraktor yang dilantik Telekom Malaysia (TM) kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan curi kabel di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.

Kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada 2.40 pagi, 10 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika ditahan suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah, namun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah membabitkan kerja berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada penahanan tujuh lagi individu dan seorang wanita yang berperanan sebagai ahli kumpulan dan pembeli kabel curi berkenaan di Sungai Petani, Kedah.

“Seramai 14 suspek terbabit dengan kegiatan curi kabel, manakala lima lagi adalah pembeli selain turut ditahan dalam serbuan sama adalah seorang sub kontraktor yang dilantik TM berusia 30-an.

“Kesemua 19 suspek itu berasal dari Kedah dan berusia antara 27 hingga 47 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya, antara rampasan dalam serbuan itu adalah empat kenderaan termasuk sebuah lori; 65 batang kabel TM; telefon bimbit (14); kon jalan (12), parang, kapak serta pelbagai barang yang dipercayai bagi kegunaan kegiatan mencuri kabel.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripadanya positif dadah, manakala 14 daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Mohd Shuhaily berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah menyamar kononnya sedang menyelenggara kabel TM bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka mencuri kabel bawah tanah melalui ‘manhole’ sebelum melupuskannya di kawasan Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah.

“Dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel iaitu 17 di Pulau Pinang dan 10 di Kedah dengan nilai kerugian berjumlah RM910,448, ” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang mengesan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun yang disyaki terbabit dengan sindiket itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here