PELAKON Puteri Sarah Liyana tetap dengan pendirian mahu menamatkan perkahwinan bersama pengarah terkenal Syamsul Yusof selepas memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, hari ini.
Puteri Sarah berkata, tarikh sebutan kes permohonan cerai terhadap Syamsul telah ditetapkan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 7 Mac depan.
Ujarnya, tarikh tersebut juga adalah sehari sebelum ulang tahun kesembilan perkahwinan mereka berdua.
“Kita mulakan (kehidupan rumah tangga) 8 Mac (2014), kita habiskan 8 Mac ini. Tarikh ditetapkan mahkamah iaitu 7 Mac sangat signifikan di mana pada 8 Mac ini, cukup sembilan tahun.
“Cukuplah sembilan tahun saya jadi isteri kepada Mohd Syamsul… Nampaknya, tiada rezeki sudah,” katanya kepada media selepas prosiding memfailkan perceraian di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu berkata, sepanjang tempoh perkahwinan terutama ketika mereka dilanda krisis, beliau sudah melaksanakan tanggungjawab terbaik sebagai isteri.
“Sarah sudah jalankan tanggungjawab dengan terbaik. Sarah juga sudah berbincang dengan keluarga termasuk mentua, berjumpa ustaz dan melakukan solat istikharah agar diberi petunjuk.
“Inilah yang terbaik dan Allah sudah tunjukkan jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Sarah lega prosiding memfailkan perceraian selesai dengan lancar, malah mengumpamakan suatu beban sudah terlepas daripada bahunya.
“Saya sangat lega… Alhamdulillah. Bagai suatu beban lepas daripada bahu dan semuanya selesai menjelang 10 hari sebelum saya dan anak-anak mengerjakan ibadat Umrah,” ujarnya.
Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Terdahulu, Puteri Sarah tiba di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, pagi tadi.
Khamis lalu Puteri Sarah mengesahkan akan memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Puteri Sarah sebelum ini berkata, tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar, baru-baru ini.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan dan Summayah, tiga tahun. – Malaysiapost

