Bicara kes rogol Adun Tronoh bermula 21 Disember

0
2
Paul Yong Choo Kiong bernama pic

MAHKAMAH Sesyen Ipoh menetapkan perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berkaitan tuduhan merogol amah warga Indonesia dijalankan selama tiga hari mulai 21 Disember ini.

Hakim Norashima Khalid menetapkan tarikh itu setelah dua lagi peguam mewakili bekas pemimpin DAP tersebut, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir berdepan kekangan untuk hadir perbicaraan yang dijadualkan hari ini.

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Choo Kiong diwakili peguam Farhan Sapian dan Surindar Singh dalam prosiding hari ini manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar.

Norashima menetapkan 20 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediamannya di Meru Desa Park, antara jam 8.15 malam dengan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama