LEBIH 150,000 individu akan kehilangan pekerjaan di Malaysia sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sibuk berpolitik, kata bekas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
Menurut beliau, lebih 51,000 kedai runcit di negara ini dilapor akan ditutup empat hingga lima bulan akan datang, kesan awal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan perniagaan mula beralih ke e-dagang.
“Ini secara langsung mengakibatkan lebih 150,000 hilang pekerjaan.
“Sektor peruncitan mungkin menghadapi penguncupan sistemik dalam jangka waktu tertentu kerana berkaitan dengan industri pelancongan yang paling terjejas akibat krisis Covid-19,” katanya menerusi kenyataannya hari ini.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus sibuk berpolitik dan gagal membantu industri peruncitan.
“Kerajaan begitu sibuk merancang pengambilalihan Sabah dan merancang untuk menyelamatkan majoriti tipisnya di Parlimen sehingga mengabaikan kebajikan pekerja dan perniagaan di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, kerajaan memperuntukkan AS$3.21 bilion (RM13.8 bilion) untuk subsidi upah dan sebagai perbandingan, Singapura memperuntukkan AS$14.6 bilion untuk subsidi atau membiayai bersama upah pekerja dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.
“Subsidi upah di Singapura merangkumi semua pekerja, sementara di Malaysia hanya mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 layak mendapat subsidi gaji.
“Kelas profesional dan teknikal yang merangkumi 59 peratus daripada kehilangan pekerjaan, tidak dilindungi.
“Walaupun kadar pengangguran turun dari 5.3 peratus menjadi 4.7 peratus baru-baru ini, ia tidak menggambarkan keadaan perniagaan dan buruh sebenar di lapangan. Penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja masih berterusan,” katanya. – Malaysiapost

