JKM lindungi kanak-kanak ditinggalkan di gerai burger

0
3

KANAK-KANAK lelaki yang ditemui dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama, Jumaat lalu akan ditempatkan di penempatan yang sesuai.

Unit Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat dalam satu kenyataan memaklumkan, ketika ini kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun itu sedang menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Pada 14 Januari 2023 (Sabtu), Pelindung Kanak-Kanak, Unit Kanak-Kanak, PKMD Hulu Langat telah menerima rujukan daripada pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berkaitan kanak-kanak yang ditinggalkan di gerai burger sekitar Cheras Utama dengan kesan lebam dan luka pada anggota badan.

“Kanak-kanak itu kini sedang menerima rawatan di hospital, dan kelihatan sihat dan ceria semasa lawatan dilakukan.

“Pelindung Kanak-Kanak PKMD Hulu Langat sedang menyediakan perancangan penempatan yang sesuai untuk kanak-kanak agar kebajikan dan kepentingan kanak-kanak terpelihara, dan memastikan kanak-kanak menerima sokongan psikologi yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu dilaporkan kanak-kanak lelaki itu ditemukan dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kanak-kanak itu ditemukan orang awam pada jam 11.30 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tidak menjumpai sebarang butiran atau dokumen pengenalan diri kanak-kanak terbabit yang disyaki anak warganegara asing kerana tidak mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu.

Menurutnya, kanak-kanak itu juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here