BUAT pertama kali, Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya.
Pembedahan yang pertama kali di Sabah itu dilakukan Pakar Bedah Otak HQE2, Dr M Sofan Zenian dan Dr Hezry Abu Hasan, Pakar Bius Otak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Dr Yeap Boon Tat dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak Hospital Sungai Buloh, Dr Liew Boon Seng.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pembedahan yang dikenali sebagai ‘awake craniotomy’ itu dilakukan selama enam jam pada 12 Januari lalu.
Beliau berkata, pesakit adalah seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober tahun lalu dan disahkan menghidap ‘multiple meningioma’ di kiri otak selepas diagnosis Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.
Menurutnya, keadaan klinikal dan gejala dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupannya.
“Justeru, keputusan melakukan pembedahan otak menggunakan teknik ‘awake craniotomy’ bertujuan merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kehidupan lebih baik.
“Sepanjang pembedahan, pesakit dipantau pakar bedah otak tahap kesedaran dan kecerdasan otak untuk menilai keberkesanan selain kesan sampingan yang mungkin timbul seperti pendarahan dalam otak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Rose Nani berkata, sebelum pembedahan dijalankan pesakit memberi keyakinan penuh selepas diberi penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius.
Jelasnya, sepanjang pembedahan, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas serta hanya mengalami sedikit gejala sakit kepala.
Beliau berkata, persiapan dan perbincangan rapi untuk pelaksanaan pembedahan terbabit dilakukan antara HQE 2, HDOK dan UMS sejak November tahun lalu.
Menurutnya, pembedahan otak dalam keadaan sedar telah dimulakan di Malaysia sejak tahun 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah. – Malaysiapost

