9 ahli Umno Kemaman cedera pulang dari PAU22

0
1

SEMBILAN ahli Umno Bahagian Kemaman yang dalam perjalanan pulang dari Persidangan Agung Umno (PAU22) cedera apabila van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Timur, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, van dipandu lelaki berusia 37 tahun itu hilang kawalan dan terbabas ketika mengelak melanggar sebuah kenderaan lain yang brek secara mengejut.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 5.50 petang itu membabitkan mangsa berusia antara 21 hingga 68 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan van Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 37 tahun membawa sembilan penumpang wanita dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta berada di hadapan van berkenaan dikatakan brek mengejut menyebabkan van terbabit hilang kawalan sebelum terbabas selepas cuba mengelak melanggar belakang kereta itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua mangsa mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

“Lima daripada mangsa termasuk pemandu dirawat di Zon Hijau manakala empat lagi penumpang dirawat di Zon Kuning.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here