PROGRAM Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan hari ini, membincangkan mengenai hala tuju serta penetapan menetapkan indeks prestasi utama (KPI) setiap kementerian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata program itu disertai barisan Menteri Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menghadiri Program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersama Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri Kabinet yang lain.
“Selain berbincang mengenai hala tuju, keberadaan kami juga berkait rapat dengan penetapan KPI untuk setiap kementerian,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Sebelum ini, Perdana Meneteri memaklumkan satu program permukiman akan diadakan khusus membabitkan Jemaah Menteri bagi menetapkan KPI setiap kementerian.

Anwar berkata, program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab, dan mengemukakan perkara yang boleh dilakukan atau diperbaiki.
“Selepas itu, kita akan membuat pengumuman mengenai KPI serta harapan daripada setiap menteri dan kementerian,” katanya. – Malaysiapost

