Jamal tuduh KJ dalangi dakwaan wujud Langkah Dewan Merdeka

0
2

KHAIRY Jamaluddin membuat dakwaan yang berniat jahat sekali gus memburukkan imej Umno kononnya wujud ‘Langkah Dewan Merdeka’ supaya usul pertandingan dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu, tahun ini.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tiada unsur komplot pihak urusetia Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 untuk membawa perwakilan import seperti didakwa Khairy.

“Saya tak tahu kerusi dicabut tag. Saya dan Ketua Umno Sabak Bernam memang duduk kerusi sama sejak semalam, dan saya pun tak perasan kerusi tu ada tag sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Jamal turut mendakwa, tuduhan melulu Khairy itu pastinya didalangi oleh bekas Ahli Parlimen Rembau dan konco-konconya.

“Sebab apa, hanya Khairy sahaja yang tahu perkara itu, orang lain tak tahu.

“Saya dan rakan-rakan yang lain sejak semalam duduk di kerusi dan barisan yang sama. Hari ini bila dia sebut tag tidak ada, baru lah kita perasan mengenai tag itu. Kami memang tak tahu pun kerusi itu ada tag.

“Kami yang dalam dewan pun tak tahu sedangkan KJ mengeluarkan kenyataan tersebut, saya yakin ianya didalangi oleh orang-orang KJ sendiri.

“Kami tak tahu, KJ hanya tahu, saya yakin perbuatan itu dilakukan oleh beliau sendiri dan konco-konconya,” katanya.

Justeru, Jamal berkata, tuduhan melulu Khairy itu akan dilaporkan ke lembaga disiplin Umno untuk diambil tindakan.

“Saya sendiri akan membuat laporan ke lembaga disiplin parti atas tindakan KJ itu,” katanya.

Terdahulu, Khairy dalam klip video di TikTok mendakwa wujud usaha menghalang dua jawatan tertinggi Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Khairy juga menyeru setiap perwakilan menolak taktik kotor yang digelarnya sebagai Langkah Dewan Merdeka itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here