SELEPAS mendakwa wujud ‘Langkah Dewan Merdeka’ bagi meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan, Khairy Jamaluddin memuat satu lagi video mengenai ‘perwakilan import’ yang dimaksudkannya.
Video berkenaan dimuat naik bekas Ketua Pemuda Umno itu melalui Instastory yang menunjukkan sekumpulan individu berbaju Melayu diberi taklimat berhubung usul tiada pertandingan.
Beliau turut menyertakan kapsyen: “Perwakilan ‘import’ diberi taklimat sebelum masuk Dewan Merdeka untuk menyokong usul ‘no contest’ (tiada pertandingan).
Dalam video, kedengaran individu memaklumkan arah untuk masuk ke Dewan Merdeka, selain beberapa perwakilan Umno bertanyakan mengenai ‘password’ (kata laluan).
Terdahulu, Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau mendakwa wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Khairy mendakwa, tanda pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menyangkal tuduhan Khairy dan menyifatkan satu fitnah.
Malah, beliau mempelawa Khairy hadir ke Dewan Merdeka dan menunjukkan individu yang didakwa sebagai `perwakilan import’.
Beliau turut meminta Khairy meminta maaf secara terbuka kepada semua perwakilan Umno kerana menuduh mereka diimport selain pemeriksa pas masuk serta Skuad Sabil Pemuda kerana memfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab. – Malaysiapost

