‘Mana satu perwakilan import, KJ?’ – Isham

0
2

DAKWAAN ada perwakilan import dibawa masuk dalam Dewan Merdeka bagi meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, adalah tidak benar.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil turut menegaskan bahawa dakwaan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin itu sebagai fitnah.

“Dakwaan KJ ini tidak benar. Saya ada dalam Dewan Merdeka sekarang, tidak ada perwakilan import seperti dituduh atau difitnah KJ.

“KJ pastinya tahu, setiap perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang mewakili bahagian masing-masing kenal sesama sendiri yang duduk di barisan kerusi mereka atau siapa yang duduk di sebelah mereka.

“Jika ada orang yang mereka tidak kenal atau tidak sepatutnya berada di situ, mereka akan tahu dan pemeriksa-pemeriksa pas pun akan tahu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Khairy kononnya wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertanding dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, tanda pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

Serentak itu, Isham meminta supaya Khairy masuk sendiri ke dalam Dewan Merdeka dan memeriksa dakwaanya.

Jika didapati Khairy gagal membuktikan dakwaannya, Isham meminta bekas Ahli Parlimen Rembau itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dalam dewan itu kerana menuduh mereka diimport.

“Dan perlu minta maaf kepada pemeriksa pas dan skuad sabil Pemuda kerana telah menfitnah mereka tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam hantaran Facebook berasingan, Isham memuat naik gambar perwakilan dalam Dewan Merdeka ketika ini dan meminta Khairy menunjukkan yang mana perwakilan import.

“Ini suasana dalam Dewan Merdeka sekarang. Mohon beritahu saya, mana satu perwakilan import, KJ?

“Fitnah itu lebih teruk dari membunuh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here