PH tak teruskan petisyen ucapan kempen Muhyiddin – Rafizi

0
1

PAKATAN Harapan (PH) tidak berhasrat meneruskan petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata ia bagi memberikan fokus kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Saya rasa PH tidak akan teruskan petisyen tersebut kerana fokus kita dalam empat hingga enam bulan ini adalah untuk uruskan ekonomi jadi dan kita akan berhadapan dengan PRN di enam negeri.

“Saya tidak mahu heret jentera parti dan kepimpinan kepada perkara yang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas, walaupun kita boleh teruskan kerana benda ini agak jelas.

“Sebaliknya, kita akan melatih jentera pilihan raya PKR membuat bantahan dan laporan jika perkara sama berulang ketika kempen akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari.

Pada November tahun lalu, Rafizi berkata, pihaknya akan mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Parlimen Pagoh.

Petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu ekoran Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam.

Tindakan itu kata Rafizi, sebagai susulan daripada penularan video ucapan Muhyiddin yang didakwa mengaitkan pembangkang ketika itu, PH dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.

Menurut Rafizi, perkara berkaitan soal Kristian dan Yahudi itu juga hanya akan memberi ruang yang lebih banyak polemik soal perkauman dan agama.

Sementara itu, Rafizi berkata, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua perlu menjalani proses rayuan seperti bekas ahli-ahli parti yang lain selepas dipecat daripada PKR.

Beliau menasihatkan supaya bekas Ahli Palrimen Batu itu melalui proses normal daripada bertindak merayu terus kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya cadangkan Tian Chua yang nak rayu belas ihsan Presiden lebih baik lalui proses Lembaga Rayuan. Mereka akan bentang kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat PKR) untuk buat keputusan akhir.

“Kalau dia tak merayu dan merayu terus kepada Presiden nanti dia akan jadi serba salah dan sukar kepada mereka lain yang dipecat, kita bagi isyarat yang tak baik kepada yang lain, ada pilih kasih. Itu terpulang kepada Tian Chua kalau nak rayu terus (kepada Presiden).

“Dia boleh lalui proses itu. Nasihat saya rayu kepada Lembaga Rayuan,” katanya.

Terdahulu, Tian Chua berharap Anwar memaafkan dirinya kerana melanggar peraturan parti dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahlian Tian Chua ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang PKR pada PRU15 lalu.

Beliau bagaimanapun diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here