Guru bina “kolam renang” daripada beg plastik untuk murid pedalaman Sarawak

0
3

Nurul Huda Abhar

TUGAS sebagai guru bukan sekadar mengajar ilmu melalui buku teks tetapi cuba untuk merealisasikan sudut pandang agar pelajar dapat gambaran sebenar daripada sesi pengajaran yang dilaksanakan.

Lantaran itu, guru Bahasa Inggeris, Muhammad Nazmi Rosli, 27, yang bertugas jauh di pedalaman Sarawak cuba untuk memberi gambaran sebenar kepada muridnya bagaimana situasi ketika mandi di kolam renang.

Mungkin bagi mereka yang tinggal di bandar, mandi di kolam renang sudah menjadi perkara biasa tetapi situasi itu jarang berlaku pada yang tinggal di pedalaman.

Muhammad Nazmi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Lawas, melalui catatan di Twitter miliknya, cuba membina “kolam renang” buatan sendiri di bilik darjah bagi menggantikan kolam renang sebenar yang tidak ada di kawasan tersebut.

“Saya membina “kolam renang” menggunakan 200 beg plastik.

“Inilah kehidupan cikgu-cikgu di pedalaman. Apa-apa yang boleh dipakai, bedal saja pakai untuk mengajar,” katanya.

Turut dikongsi adalah foto keadaan “kolam renang” ciptaannya di tengah bilik darjah dan murid turut membawa tuala mandi bagi membayangkan situasi sebenar ketika melakukan aktiviti air itu.

Terdapat juga foto seorang murid lelaki seperti sedang berenang menggunakan pelampung di “kolam renang” berkenaan.

Menerusi semakan Malaysiapost, entri ciapan guru itu menerima lebih 19,000 tanda suka dan 9,000 diulang kicau .

Perkongsian guru itu menerima komen positif daripada pengikut Twitter atas kesungguhannya dalam membangunkan modal insan di kawasan pedalaman mengikut kreativitinya yang tersendiri. – Malaysiapost