Nurul Huda Abhar
DUA jawatan utama dalam Umno tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan parti kerana Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kini daripada Umno.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin, berkata pertandingan dalam parti hanya akan memecah-belah hubungan sedia ada.
“Oleh kerana kedudukan dan keadaan parti begini rupa dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pertahanan telah ada jawatan dalam kerajaan.
“Pada pendapat saya jawatan ini tidak perlu dipertandingkan, bagilah mereka berdua masa untuk buktikan keupayaan mereka bekerja mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Jika ada pertandingan sedikit sebanyak akan membawa kepada perpecahan. Banyak parti dalam kalangan orang Melayu ketika ini berpunca daripada pertandingan,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Roslan berkata, fokus utama parti ketika ini adalah mengembalikan kepercayaan rakyat selepas Umno tewas pada PRU14 dan 15.
“Presiden parti amat memahami situasi dan keadaan bahawa PRU tempoh hari kita kalah. Walaupun dalam ucapan Presiden tadi beliau beritahu kita dah buat macam-macam. Program dan sebagainya tetapi pengundi menolak kita.
“Kita kena kembali bersatu, kembali bertaut, bekerja ikhlas untuk rakyat bagi memastikan Umno diterima kembali,” katanya.
Sementara itu, Perwakilan Parlimen Mersing, Shafie Kasim, mengakui kerjasama parti bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sesuatu yang baharu dan serba sedikit mempengaruhi Umno.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama bersama PH adalah mengikut titah Yang di-Pertuan Agong, yang mahukan Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi mengakhiri kemelut politik semasa.
“Ya, mempengaruhi kerana ia perkara yang baru, amat susah untuk diterima sekali gus oleh ahli.
“Atas dasar perpaduan, dasar mematuhi tidak derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong maka kita bersama dengan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan. Demi negara, agama da tanah air,” ujarnya. – Malaysiapost

