Beri kepercayaan kepada pemimpin Umno dalam Kabinet – Noraini Ahmad

0
3

DEMI kelangsungan perjuangan parti, kesemua ahli Wanita Umno dirayu agar terus bersama kepimpinan parti menjuarai hati rakyat dalam semua perkara.

Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata walaupun ‘luka’ akibat kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu masih terasa, Umno perlu bangkit dan meneruskan perjuangan.

“Paling penting teruslah kita berjuang, kembalilah kepada rakyat. Kita datang dari rakyat, kita berkhidmat untuk rakyat dan semestinya kita menjuarai semua isu berpaksikan rakyat.

“Kita tahu kita baru kalah. Masih lagi terasa pedihnya. Tetapi atas nama Wanita Umno, demi kelangsungan perjuangan dan parti tercinta ini…marilah kita bersetia, teguh dan bersatu..ayuhlah semua bangkit berjuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Wanita Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Noraini turut, menyeru agar Wanita Umno menaruh kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk membawa suara dan mandat ahli Umno dari akar umbi dalam kerajaan.

“Kita kena sedar sekarang ini bahawa kita (Umno) bukan memerintah secara total, walaubagaimanapun kita akan membawa kepada perhatian pihak kerajaan.

“Tiga kepimpinan parti mempunyai jawatan dalam kerajaan dan kita berilah kepercayaan kepada kepimpinan ini yang berada dalam Kabinet untuk membawa suara dan mandat ahli Umno dari akar umbi,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan tugas penting Wanita Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

“Ini bukan masa untuk kita mencari salah, menunding jari, bergaduh sesama sendiri..ini masa untuk bekerja. Inilah masa untuk kita mengambil langkah sederap. Cabaran pilihan raya di enam negeri masih belum selesai,” katanya.

“Sebaik sahaja pulang ke kawasan masing-masing ada tugas besar yang perlu kita lunaskan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here