KELUARGA kepada penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman yang kini berdepan pertuduhan dadah, menyuarakan kerisauan tentang kesihatannya yang dilihat semakin kurus seperti tinggal tulang sahaja.
Kerisauan itu disuarakan oleh abangnya Zain Sulaiman dalam satu perkongsian video daripada Sumber TV di laman Instagram penyanyi terbabit hari ini.
“Rasa sedih itu memang ada. Tetapi itu lumrah hidup. Dan kita akan terus berada bersama Yasin dan berdoa insya-Allah. Cuma saya amat risau tentang kesihatan dia. Saya peluk dia pagi tadi. Tinggal tulang,” katanya dalam video berkenaan.
Beliau yang kelihatan sebak tidak dapat meneruskan kata-katanya dan kemudian meminta peguam yang mewakili adiknya, Ariff Azami Hussein untuk menyambungnya.
“Lawatan terakhir kami di penjara pun, Yasin memang seperti biasa bersemangat, redha dengan ujian tetapi kekhuatiran kita, keadaan kesihatan beliau yang nampak sedikit merunsingkan terutamanya susut berat badan yang agak ketara.
“Contohnya bila kita peluk dia, salam dia pun kita terasa tulang,” kata Ariff Azami.
Menurut peguam berkenaan, apabila disiasat Yasin makan dan makanannya cukup, namun mungkin melibatkan isu tekanan atau isu kesan sampingan daripada ubat-ubat beliau.
“Itu kerunsingan kita. Sebab itu kita sangat-sangat berikhtiar dan berusaha agar satu keputusan yang cepat dapat diberikan kepada Yasin. Sebab semakin hari kita jumpa, setiap kali kita jumpa semakin susut.
“Walaupun beliau tetap orang yang sama, orang yang bersemangat itu, yang sentiasa positif itu tetapi keadaan fizikal badan beliau itu agak merunsingkan. Pihak keluarga lagilah bertambah runsing.
“Jadi kita sama-sama doakan yang terbaik untuk Yasin, beliau kekal sihat, kekal bersemangat dan diberikan peluang kedua dalam hidup insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Yasin dilaporkan gagal dalam permohonan representasinya untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan yang dikemukakan Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam. – Malaysiapost

