UMNO tidak lagi mempertahankan soal ketuanan Melayu, assbiyyah Melayu dan perpaduan Melayu yang menjadi pra syarat kepada perpaduan nasional.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ketika berkempen di Padang Serai di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Presiden Umno telah ‘sertukan’ DAP.
Namun begitu, beliau berkata sehingga hari ini DAP tidak pernah bercakap bagi pihak Umno, apatah lagi menggugurkan dasar dan ideologi parti itu yang dilawan Umno sejak 60 tahun dahulu.
“Baru kahwin kentut pun dikata wangi. Tak apalah orang sedang hangat bercinta kita biarkan tapi rajin pula jadi jurucakap DAP,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, gabungan Muafakat Nasional adalah topeng Umno untuk mengumpan kembali kepercayaan orang Melayu.
“Teruskan mengeji dan berprasangka buruk kepada Bersatu, PAS. Mudah dan cepat sungguh pemimpin Umno tukar skrip.
“Rupanya Muafakat Nasional adalah wayang sinetron untuk umpan orang Melayu pertahankan pemimpin Umno yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa, “ katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Umno bekerjasama dengan DAP pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana parti itu tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam setia kawan.
Mohamad berkata, jika parti itu bersama dengan Perikatan Nasional (PN), Umno hanya menjadi pemain ketiga yang berkongsi kepentingan penduduk yang sama.
“Kita memang kenal pendirian mereka (DAP). Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setia kawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura,” kata Mohamad. – Malaysiapost

