PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Anwar berkata, keutamaannya ketika ini adalah memberi tumpuan kepada tugas-tugasnya selepas diberikan mandat dan dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kita akan bincang (kerana masih) terlalu awal, bagi saya dalam sebulan dua ini hanya tumpu soal kerja, …belum lagi bincang soal PRN,” katanya.
Beliau kerata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.
Ditanya bila masa yang sesuai untuk mengadakan PRN di enam negeri, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyerahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berkenaan.
“Ini (PRN) soal urusan negeri cuma dia akan tetapkan yang sesuai (tetapi) kalau idealnya semua sekali tetapi dia bukan di bawah bidang kuasa saya,” katanya.
Anwar berkata, perbincangan juga akan dilakukan berhubung Umno yang memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam PRN akan datang namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
PH kini mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sementara Kelantan, Terengganu dan Kedah dipimpin PN.
Sebelum ini, PH dan PN seakan bersetuju dan senada dengan cadangan untuk mengadakan PRN serentak, seiring syor Suruhajaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, timbul cadangan dalam kalangan pemimpin PN sendiri mahu supaya PRN khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan lebih awal. – Malaysiapost

