Lagi masalah air di Selangor, lebih 1.1 juta akaun pengguna terjejas

0
2

LEBIH 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor, hari ini.

Gangguan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran dikesan jam 2 pagi tadi.

“Setakat jam 6.30 pagi ini, pencemaran di Sungai Selangor masih di tahap 1 TON (kadar pencemaran bau).

“Pemulihan pada tahap 80 peratus namun berikutan pencemaran bau melibatkan loji sama, ia tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, Air Selangor melepaskan 285 juta liter air sehari (JLH) dari projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 serta 800 JLH dari empangan bagi mencairkan pencemaran berkenaan.

Pada masa sama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengepam air mentah dari kolam KL Larut dengan kapasiti 336 JLH.

“Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas terutama premis kritikal seperti hospital serta pusat dialisis dan pengguna yang memerlukan bantuan air untuk kecemasan seperti kematian boleh menghubungi talian 15300.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklum dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com. – Malaysiapost