Umno bakal lakukan ‘pembersihan total’ – Puad

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melakukan pembersihan total terhadap anasir ‘baling batu sembunyi tangan’ yang berada di dalam parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata komitmen itu dinyatakan Ahmad Zahid ketika berucap dalam sesi taklimat Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022), sebentar tadi.

“Dalam taklimat Presiden hari ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melakukan pembersihan total supaya Umno bersih daripada anasir baling batu sembunyi tangan,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Mohd Puad berkata, beliau menyokong tindakan ‘pembersihan total’ itu kerana mendakwa mereka mendatang mudarat kepada parti.

“Mereka mendatangkan mudarat kepada Umno. Hala tuju baru UMNO akan dibentangkan dalam ucapan dasar Presiden Umno Jumaat ini. Justeru pembersihan total Umno amat disokong,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) berlangsung selama empat hari yang membuka tirai hari ini, dimulakan dengan Taklimat Presiden Umno.

Fokus utama taklimat itu adalah bagi memahamkan dan memaklumkan perwakilan yang hadir mengenai Kerajaan Perpaduan dan mengapa Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), sekitar jam 3.10 petang tadi, bagi memimpin taklimat berkenaan.

Menerusi taklimat itu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan Umno mampu kembali bangkit daripada rebah dengan semangat musyawarah di kalangan kepimpinan dan ahli-ahlinya.

Malah, beliau juga terharu melihat ramai perwakilan yang tiba di Dewan Merdeka hari ini, bagi menghadiri sesi Taklimat Presiden Umno, sebentar tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here