PERGOLAKAN politik yang berlaku di Sabah ketika ini membuktikan tiada yang stabil di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Ayer Hitam Muhammad Syafiq A Aziz, berkata Perdana Menteri ke-10 itu yang sebelum ini mengatakan ‘kerajaan perpaduan’ diterajuinya mengemudi negara demi kestabilan politik yang lebih baik, gagal menterjemahkannya.
“Terbuktilah di bawah pentadbiran PMX (PM10), tiada yang stabil. Sabah bergolak berpunca dari Umno. Soalannya, adakah Langkah Kinabalu ini mendapat restu atau arahan daripada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa pergolakan membabitkan Umno, turut berlaku di Melaka dan terbaharu dikatakan berlaku di Johor.
“Negeri Melaka, bergolak dan berebut takhta sesama sendiri. Langsung tidak melibatkan wakil rakyat daripada pembangkang. Sebaliknya, lebih kepada ‘perang saudara’ yang mencetuskan kekecohan landskap politik Melaka.
“Johor juga tidak terkecuali, apabila kedengaran khabar angin berkemungkinan Menteri Besar akan ditukarkan dan berlakunya rombakan EXCO Kerajaan Negeri.
“Mungkin kerana Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap benar demi kelangsungan parti dan ahlinya, itulah ‘harga yang perlu dibayar’,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kestabilan politik yang digembar gemburkan masih tidak menampakkan petanda positif.
Menurutnya, rakyat masih dihimpit masalah ekonomi kerana Jemaah Menteri tiada daya mewujudkan inisiatif intervensi dalam permasalahan yang timbul.
“Sehingga menjelang ke 50 hari pentadbiran PMX, kehidupan rakyat masih lagi terkesan dengan hambatan kos sara hidup. Kerajaan kelihatan sendu dan canggung untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan.
“Kerajaan hanya tahu ‘sekat’ suara rakyat, memadam video di media sosial sekali gus menafikan hak kebebasan bersuara. Sedangkan rakyat pada hari ini, bukan lagi hanya menjadi ‘mata dan telinga’ malah ‘check and balance’ kepada kerajaan.
“Kestabilan politik dilaungkan hanyalah ‘tin kosong’ demi tembolok kuasa dan kroni sahaja. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kerajaan di bawah pentadbiran PMX. Nampak hebat ketika membangkang, kelihatan bebal bila berkuasa,” sindirnya.
Beliau berkata, keputusan PN untuk tidak bersama dalam pentadbiran pimpinan Anwar dan sebaliknya berada dalam blok pembangkang ternyata tepat, sekaligus tidak terjebak kacau bilau politik yang berpunca dari masalah dalaman. – Malaysiapost

