Tembak bekas isteri kerana enggan rujuk

0
2

GERAM kerana bekas isteri enggan berbaik semula, seorang lelaki cuba membunuh wanita itu dengan melepaskan tembakan menggunakan ‘bakakuk’ di di Kampung Kerongkom Laut, dekat Kota Marudu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada kaka mangsa berusia 50 tahun.

Katanya, suspek yang berusia 58 tahun dikatakan ke rumah mangsa berusia 39 tahun jam 2 petang dan mengajaknya untuk keluar membeli bekalan makanan di kedai runcit berhampiran.

“Mangsa bersetuju dan turut membawa dua orang anak mereka.

“Bagaimanapun, suspek cuba memujuk mangsa untuk kembali kepadanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, wanita itu enggan dan ketika itu suspek dilihat mengambil selaras bakakuk,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mohd Izaan berkata, mangsa yang menyedari tindakan suspek bergegas memegang tangan anak lelakinya berusia enam tahun dan ingin melarikan diri.

“Mangsa kemudiannya terdengar satu das tembakan sebelum menoleh ke belakang dan bertindak menerkam suspek yang memegang bakakuk sambil dibantu anak perempuan berusia 15 tahun.

“Pergelutan berlaku dan jeritan mangsa meminta pertolongan didengari kakak mangsa serta ahli keluarga lain yang berada tidak jauh dari lokasi.”

“Ahli keluarga mangsa kemudiannya bergegas membantunya sebelum menangkap dan mengikat suspek sementara menunggu ketibaan pihak polis,” katanya.

Mohd Izaan berkata, anak lelaki mangsa berusia enam tahun cedera pada pinggang dan punggungnya.

“Anak mangsa itu dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan di Hospital Kota Marudu dan akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Selaras bakakuk, satu kelongsong peluru dan dua butir peluru dirampas, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan lelaki itu bercerai pada Ogos lalu kerana tidak bersefahaman selepas berkahwin selama 24 tahun. – Malaysiapost