Piala Malaysia: Penyokong Melaka rayu dibenarkan masuk stadium

0
1

KELAB Penyokong Melaka United (KPMU) mohon pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi kebenaran kepada penyokong memasuki stadium sepanjang saingan Piala Malaysia yang dijadualkan pada bulan depan.

Pengerusi KPMU, Mohd Fairuz Mohd Sirat, berkata pihaknya memahami situasi semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara, namun kebenaran berkenaan boleh diberikan kepada penyokong yang memiliki pas bermusim sahaja.

Katanya, apa yang lebih utama adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat harus dilakukan kepada penyokong yang dibenarkan kelak selain semua pemain, pegawai, kakitangan dan sesiapa sahaja yang terbabit di lokasi perlawanan.

“Sampai bila penonton tidak dibenarkan masuk walaupun dengan jumlah yang terhad? Sekarang ini siaran langsung yang disiarkan juga amat membosankan. Pada kami stadium wajib dibuka kepada peminat.

“Pemain memerlukan penyokong. Perlawanan sekarang dilihat semakin layu dan suram tanpa pemain ke-12 terbabit.

“Pada kami, penaja sudah pasti juga lebih tertarik jika suasana lebih meriah untuk menghidupkan prestij Piala Malaysia,” katanya seperti dilapor BH.

Sementara itu, Pengerusi kelab penyokong Demi Melaka United (DMU), Mohamad Odiyas Onan, berkata membenarkan antara 10 atau 15 peratus penonton masuk ke stadium adalah langkah terbaik bagi memeriahkan saingan piala teragung bola sepak negara itu.

“Keutamaan wajar diberi kepada pemegang pas bermusim bagi menyaksikan atau jika terlalu terhad ia boleh digilirkan. Namun keselamatan umum perlu dititik berat sebelum individu dibenarkan kembali ke stadium,” katanya.

Saingan Piala Malaysia dijadual bermula 6 November ini dengan proses undian pada awal bulan.- Malaysiapost