Malaysia, Arab Saudi mula rundingan kuota haji 2021

0
2

MALAYSIA dan Arab Saudi Saudi sudah memulakan rundingan awal mengenai kuota haji tahun depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Putrajaya dan Riyadh turut membincangkan mengenai jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah.

Menurutnya, turut dibincangkan kaedah pelaksanaan haji dan umrah sekiranya ibadah berkenaan boleh dilaksanakan sebelum vaksin Covid-19 ditemui.

Katanya, langkah itu perlu selepas Arab Saudi dijangka melonggarkan penutupan sempadan bermula 1 Januari tahun depan.

“Keputusan ini juga menyentuh kemungkinan membenarkan umat Islam dari luar Arab Saudi untuk menunaikan haji dan umrah dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

“Biarpun belum ada keputusan muktamad berhubung perihal haji dan umrah serta kaedah pelaksanaannya oleh kerajaan Arab Saudi, namun Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pendirian sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, perbincangan dan perancangan dibuat awal menerusi Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi berkenaan penting supaya kedua-dua negara lebih bersedia apabila ia hendak dilaksanakan kelak.

“Kerajaan Malaysia menghargai komitmen Arab Saudi untuk bersama-sama menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi demi memperkukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang selepas era pasca Covid-19.

“Kita percaya, penubuhan jawatankuasa ini berupaya membawa manfaat kepada Malaysia dan Arab Saudi.

“Malaysia akan memberikan sepenuh komitmen demi memastikan setiap perancangan menerusi jawatankuasa ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Perkembangan berhubung jawatankuasa ini akan saya dan Wisma Putra maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost