INGAT dapat selesaikan masalah tetapi bertambah lagi masalah.
Itulah yang dihadapi seorang peniaga yang kerugian RM60,000 akibat ditipu lelaki bergelar Datuk.
Mangsa berusia 40 tahun mendakwa diperdaya seorang lelaki yang kononnya mahu membantu menyelesaikan hutangnya dengan ceti haram atau ‘Ah Long’.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dari sebuah syarikat pengutip hutang ketika berada di pejabatnya di Seksyen 13, pada 4 Oktober lalu.
“Mangsa memaklumkan dia ada membuat pinjaman dengan Ah Long sebanyak RM200,000 sebagai pusingan modal perniagaannya pada 2017 dengan membuat bayaran bulanan tanpa gagal RM1,500 setiap bulan.
“Pada Mac lalu, mangsa memaklumkan dia tidak mampu membuat bayaran kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan menyebabkannya sering diganggu dan diugut Ah Long.
“Mangsa kemudiannya berkenalan dengan lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman sebelum dia menceritakan masalah kewangan dihadapinya kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek kemudiannya menawarkan diri untuk membantu mangsa dengan cara menghubungi seorang lelaki tempatan dipercayai Ah Long.
Katanya, suspek menghubungi Ah Long dan berbincang kononnya akan menyelesaikan hutang mangsa.
“Mangsa kemudiannya dihubungi Ah Long berkenaan yang memberitahu segala urusan pembayaran hutangnya mesti melalui suspek.
“Dia yang percaya kemudiannya menyerahkan wang sebanyak RM60,000 kepada suspek,” katanya.
Katanya, pihaknya membuat serbuan di sekitar Cheras, Kuala Lumpur susulan daripada laporan mangsa dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai Ah Long jam 9.15 pagi, 12 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti kongsi gelap dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952,” katanya.
Tambahnya, polis kemudiannya menahan seorang lelaki bergelar Datuk berusia 43 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada jam 11.15 pagi, 16 Oktober lalu.
“Semakan mendapati suspek itu mempunyai empat rekod jenayah di Kuala Lumpur dan Selangor berkaitan kes penipuan.
“Dia turut didapati pernah memiliki syarikat keselamatan dan kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.
“Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan Seksyen 170 KK kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. – Malaysiapost

