BEKALAN air 686 kawasan di Lembah Klang yang terjejas akibat paip air terawat pecah di Loji Rawatan Air Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan pulih sepenuhnya, Selasa ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA SSP1 telah beroperasi semula pada pagi tadi dan bekalan air mula diagihkan ke sistem agihan jam 12 tengah hari tadi.
Katanya, pelan pemulihan untuk lima wilayah yang terjejas iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor telah dibahagikan kepada dua kumpulan utama.
“Kumpulan pertama melibatkan 241 lokaliti di kelima kawasan itu akan pulih sepenuhnya jam 2 petang esok.
“Sementara, 445 lokaliti lagi akan pulih pada Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Air Selangor berharap pengguna menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pemulihan bekalan air.
Katanya, sebanyak 88 lori tangki telah digerakkan ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.
“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan dalam tempoh pemulihan tersebut.
“Status pemulihan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengikut saluran rasmi Air Selangor di lama twitter, Facebook dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.
Semalam, LRA SSP1 terpaksa dihenti tugas separa bagi aktiviti pembaikan paip air terawat yang bocor sehingga menjejaskan 686 kawasan di Lembah Klang. – Malaysiapost

