Turun kadar tol BESRAYA, LEKAS antara pencapaian 30 hari Menteri Kerja Raya

0
3

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berazam untuk memastikan perjalanan gerak kerja kementerian itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin selari hasrat Kerajaan Perpaduan.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Nanta mengakui selepas genap sebulan mengemudi Kementerian Kerja Raya (KKR) banyak perkara yang perlu beliau pelajari dengan cepat selain perlu bertindak tangkas.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengemukakan pencapaian yang berjaya dilakukan selepas 30 hari mengemudi kementerian terbabit, antaranya termasuk menurunkan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Menggerakkan 2,580 pelbagai jentera di seluruh Semenanjung bagi membantu kerja-kerja kecemasan ketika bencana alam sepeti banjir dan tanah runtuh.

Selain, menggerakkan operasi 24 jam bilik gerakan bencana (BIGBEN) Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebulan menerajui Kementerian Kerja Raya Malaysia, saya akui memimpin kementerian ini bukan tugas mudah.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari dengan cepat dan tangkas, bagi memastikan perjalanan gerak kerja kementerian dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin selari hasrat Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi Facebook.

Nanta berkata, 30 hari pertama di KKR, beberapa perkara berkenaan antara usaha yang dapat beliau gerakkan dengan pantas, hasil perbincangan dan kerjasama utuh semua warga kerja KKR, selain beriltizam untuk bekerja dengan lebih kuat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan barisan Jemaah Menteri akan mengadakan sesi pemukiman (retreat) pada minggu ini untuk membentangkan indeks prestasi utama (KPI) bagi kementerian masing-masing.

Anwar berkata program pemukiman itu bertujuan untuk melihat perkara yang dapat dilakukan atau diperbaiki daripada menteri dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

“Seminggu lagi akan diadakan pemukiman menteri untuk para menteri membentangkan pencapaian mereka setakat ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here