PKPD Penjara Alor Setar dilanjut 14 hari lagi

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 1 November ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaackob.

Beliau berkata, ia mengambil kira masih terdapat kes positif di kawasan itu serta permohonan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lanjutan PKPD ini bermula 19 Oktober hingga 1 November. Untuk makluman, sehingga semalam, terdapat 1,178 kes positif Covid-19 membabitkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara telah direkodkan.

“Pelanjutan ini bagi membolehkan pelaksanaan pemantauan dan saringan berterusan dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Alor Setar terutamanya dalam kalangan kakitangan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, polis menahan 661 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam

“Daripada jumlah itu, seramai 632 individu dikompaun, manakala 27 direman dan dua dijamin.

“Tidak memakai pelitup muka adalah kesalahan tertinggi semalam iaitu 223 kes. Diikuti penjarakan fizikal (191); gagal menyediakan peralatan, merekod butiran diri (112) ; langgar syarat perintah di kawasan PKPB (75) dan aktiviti di pusat hiburan (45).” Katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, dua penjara di Pulau Pinang yang kini berdepan pandemik Covid-19 memerlukan sumbangan pelitup muka bagi menampung keperluan mereka dengan penggunaan harian sekitar 4,500 keping, kata Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed.

Beliau berkata, masalah itu sudah dimaklumkan kepada KKM serta MKN dan pihaknya sedang menunggu bekalan untuk disalurkan kepada Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai.

“Kami ada menerima sumbangan pelitup muka daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tetapi masih tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Penjara Reman Pulau Pinang, di George Town hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta lebih banyak NGO dan mereka yang berkenaan tampil membantu menampung keperluan tersebut. – Malaysiapost