Hajiji masih KM Sabah, kemelut politik terkawal – PM

0
3

KERAJAAN Sabah yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tidak terjejas meskipun pergolakan politik melanda negeri itu ketika ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemelut politik Sabah dalam keadaan terkawal dan beliau telah pun mendapatkan penjelasan daripada Hajiji mengenai perkara itu. 

Malah, Anwar juga telah mendapatkan penjelasan daripada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini. 

“Keadaan macam tu lah, saya sudah bercakap dengan  Ketua Menteri  Hajiji dan saya difahamkan Zahid sudah bercakap dengan Bung Moktar dan keadaan terkawal untuk seketika.

“Insya Allah kita dapat pastikan keadaan pengurusan kerajaan negeri tak terjejas kerana keutamaan kita ialah menjana pertumbuhan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Anwar menegaskan, beliau akan memberi perhatian khusus kepada isu Sabah selepas pulang dari urusan rasmi ke Indonesia.

“Insya Allah, balik dari Jakarta saya akan bagi perhatian khusus kepada  perkembangan Sabah,” katanya. 

Suhu politik Sabah kembali hangat selepas Umno, BN Sabah mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Hajiji kerana hilang kepercayaan.

Malam tadi, Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah, mengumumkan pihaknya menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri Sabah, sekali gus menarik diri daripada kerajaan negeri.

Bung Moktar menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu. 

Bung mendakwa, Hajiji melanggar persefahaman politik dengan BN Sabah yang diadakan ketika memberikan sokongan terhadapnya sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri Sabah.

Bagaimanapun lima ADUN BN Sabah menolak langkah yang diambil Bung Moktar menarik sokongan terhadap Hajiji.

Sementara itu, Anwar mengakui belum menerima sebarang jemputan daripada Umno untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bakal diadakan minggu hadapan. 

“Dalam politik atau kehidupan tak boleh seandainya, sekarang belum ada jemputan… Lagi pun ini soal parti Umno, saya Keadilan (PKR),” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here