Armada kecewa konsert Jay Chou lagi penting berbanding sukan negara

0
3

ARMADA Bersatu menyoal kepentingan konsert hiburan selebriti Taiwan berbanding maruah sukan negara sehingga terpaksa mengorbankan 21,000 tempat duduk Stadium Nasional, Sabtu ini.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata sepatutnya Stadium Nasional mengutamakan sukan negara dan acara selain daripada itu boleh dibuat di Axiata Arena.

“Pada separuh akhir Piala AFF 2018, 87,545 penyokong hadir namun tahun ini, 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam pemasangan.

“Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya?

“Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu,” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyuarakan rasa kecewa kerana Stadium Nasional tidak digunakan secara sepenuhnya untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF.

Beliau juga meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memperbetulkan keadaan itu bagi membela nasib sukan negara.

“Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan nombor satu negara!

“Jangan khianati perjuangan para perwira negara kami! Ini Malaysia first,” katanya.

Rabu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan hanya 59,000 tiket dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, ini kerana 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ berikutan dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here