PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihati orang ramai agar tidak dengan terlibat
perbuatan fitnah yang amat merugikan berhubung insiden kebakaran Wisma Jakel di Shah Alam.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata susulan kejadian itu ada ‘suara nakal’ menuduh syarikat gergasi tekstil itu sengaja membakar gudangnya bagi mengaut keuntungan melalui pampasan insurans.
Menurutnya, urusan menuntut pampasan insurans ke atas perniagaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah, sebaliknya sangat rumit dan mungkin mengambil masa beberapa tahun.
“Jakel, terutamanya di cawangan Shah Alam antara tumpuan umat Islam ketika sambutan Hari Raya yang bakal tiba beberapa bulan sahaja lagi.
“Tak masuk akal jika mereka mahu membakar gudang itu dan tanggung kerugian beberapa tahun semata-mata mengejar pampasan yang belum tentu dapat meliputi keseluruhan kos,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu menurut Nadzim, dengan musim perayaan yang akan datang, lazimnya Jakel antara syarikat yang banyak menyumbang kepada NGO dan rumah anak yatim serta orang persendirian tanpa hebahan kepada media.
“Akhir zaman ini amalan fitnah semakin berleluasa, saya ingin mengajak orang ramai menjauhi perbuatan fitnah dan perbanyakkan beristighfar serta mendoakan kebaikan dalam musibah yang sering melanda negara,” katanya.
Sebagai NGO yang menegakkan hak kepenggunaan Islam selain aktif dalam kerja kebajikan, PPIM juga katanya, mengingatkan orang ramai bahawa tiada kebaikan dalam membuat tohmahan dan fitnah.
“Pemilik syarikat Kumpulan Jakel ini orang Islam, pekerja mereka juga majoritinya orang Islam, mengapa kita mahu memburukkan lagi keadaan? Ibarat menendang orang yang sedang jatuh, tidakkah kita mempunyai adab dan semangat bersaudara sesama Islam,” tegasnya.
Minggu lalu negara dikejutkan dengan berita kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 Shah Alam.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Feroz Mohamed Jakel berkata kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan hampir RM100 juta.
Jumlah berkenaan bagaimanapun hanya membabitkan nilai bangunan (Wisma Jakel) dan jumlah sebenar kerugian belum dapat dianggarkan.
Bangunan tersebut nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat.
Api dipercayai bermula daripada bahagian pakaian lelaki di tingkat satu, namun punca sebenar masih belum diketahui. – Malaysiapost

