JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah memulakan siasatan terhadap seorang pegawainya susulan video ceramah tular yang mengundang kemarahan netizen.
Jakim menerusi kenyataan di Facebook berkata, pegawai berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, pihaknya juga telah memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai itu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.
“Pihak pengurusan tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai itu yang dilihat mengundang kemarahan netizen.
“Susulan itu, Jakim memanggil pegawai tersebut untuk siasatan lanjut bagi memulakan prosiding tatatertib dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan yang mengutuk Kerajaan Perpaduan dalam kuliah subuh.
Ceramah itu dipercayai dirakam di sebuah masjid di Kuala Langat, Selangor pada 2 Januari lalu.
Kandungan ceramah itu antara lain turut menyentuh perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ yang dijadikan senjata politik sebuah parti sebelum pilihan raya umum lalu.
Ia menyebabkan pegawai Jakim berkenaan dikecam ramai netizen yang tidak berpuas hati kerana menggunakan masjid untuk mengutuk Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

