Tidak menjadi masalah untuk Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berusaha menyelamatkan dirinya daripada pertuduhan mahkamah yang dihadapinya ketika ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata adalah menjadi kewajiban bagi pemimpin Umno itu untuk melindungi diri dan keluarganya.
“Siapa yang tak mahu berusaha menyelamatkan diri masing-masing? Tidak hairan. Kalau Datuk Seri Zahid hendak menyelamatkan diri dia, itu wajib dan tanggungjawab dia.
“Menjaga keselamatan diri, menjaga keselamatan keluarga. Kenapa dipertikaikan?,” katanya ketika wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Bekas timbalan perdana menteri itu berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pada 2 Mac lalu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan menafikan kesnya digugurkan oleh mahkamah ekoran kerjasama Umno dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN menegaskan dia akan membersihkan namanya di mahkamah tanpa pengguguran kes.
Katanya bagaimana cara yang digunakan oleh Zahid itu adalah haknya dan mereka tidak berpuas hati boleh mempertikaikannya.
“Sama ada dia menggunakan parti kah, ini kah, itu lain. Boleh diperlakukan, tetapi jika dia berusaha apa cara sekali pun itu wajar.
“Tak kan kalau kamu dah sakit sampai nak mati tak pergi berubat? Kena berikhtiarlah cari ubatnya,” katanya lagi.
Tajuddin berkata demikian sebagai mengulas cemuhan terhadap Zahid yang terpalit kes mahkamah di media sosial.- Malaysiapost

