UMNO masih belum menarik ‘hand brake’ sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Umno menuntut layanan adil kepada parti itu yang menyumbang kerusi paling banyak dalam kerajaan.
“Saya tak kata Umno tarik ‘hand brake’. Belum ada keputusan kata nak tarik ‘hand brake’. Tidak timbul soal ini, setakat ini lah.
“Esok lusa saya tak tahu, hakikatnya begitu benda boleh berubah,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia, mengulas krisis dalaman membabitkan Umno terhadap PN ketika ini.
Krisis bermula apabila Umno menyatakan hasratnya untuk mempertimbangkan semula sokongan parti itu kepada kerajaan PN.
Kemudian, ketika mesyuarat biro politik Selasa lalu, Umno membuat pertimbangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat dikemukakan mereka tidak dipenuhi.
Kelmarin, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak mahu kerajaan memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio penting kepada Umno.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata Umno tidak bermusuh dengan Bersatu, mahupun menjauhkan dari daripada PN.
Sebaliknya Umno mahu Bersatu menghargai jasa parti itu sebagai komponen dalam kerajaan PN.
“Orang kata apa yang sepatutnyalah. Kalau orang kecil, kamu layanlah kecil. Orang kecil kalau beri makan banyak buat apa?
“Maknanya, Umno itu parti besar, sumbanganya besar untuk pastikan kerajaan PN itu kuat. Jadi, tidak wajarlah kalau saya nak sebut nanti.
“Tapi, ini beri jawatan setakat menteri belia, jawatan yang sebagainya itu,” katanya.
Ditanya sama ada Umno mempunyai masalah apabila PAS berbaik dengan Bersatu, Tajuddin berkata parti itu dengan PAS masih baik.
Namun, katanya, Muafakat Nasional (MN) kini sudah nampak lesu dan tiada lagi program penyatuan ummah. – Malaysiapost

