TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, ketika terdapat khabar angin mengenai usaha mengambil alih kerajaan negeri itu.
ADUN-ADUN PH Sabah tersebut ialah Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kepayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).
Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, mereka mengesahkan tidak pernah memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.
“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama ADUN PH Sabah seramai tujuh orang.
“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah bagi menyokong mana-mana pihak selepas 2020.
“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang terakhir pada Nov 2022 yang lepas,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, tujuh ADUN PH Sabah berkenaan juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
November tahun lalu, PH Sabah menyatakan yang mereka akan memberi sokongan penuh kepada Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan negeri hingga habis tempoh penggal DUN.
Semalam, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, terdapat ada pihak mendakwa telah memperolehi sokongan lebih separuh untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Negeri yang baharu.
Namun Masidi turut memaklumkan, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin Kerajaan Negeri sedia ada. – Malaysiapost

