Kelulusan kadar RM50 juta hanya projek bukan berskala besar – Ronald

0
1

KUASA menguruskan projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta di Sabah dan Sarawak hanya membolehkan dua negeri itu sekadar melaksanakan projek bukan berskala besar, kata Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, sewajarnya peruntukan itu ditingkatkan selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik.

Katanya, ia sekali gus membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi dalam melaksanakan projek-projek pembangunan lebih besar dan berimpak tinggi.

“Saya berharap pengiktirafan JKR Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh Kerajaan bermaksud keseluruhan kuasa berkaitan akan diserahkan kepada Sabah dan Sarawak tanpa apa-apa syarat.

“Ini penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri merancang pembangunan dengan lebih efisien dengan mengurangkan sebarang birokrasi tertentu.

“Pada masa yang sama, saya berharap bahawa pengiktirafan yang sama juga dapat dilaksanakan ke atas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, Sabah dan Sarawak juga memerlukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan peruntukan pembangunan bagi membolehkan dua negeri itu mencapai tahap pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain.

“Hal ini penting memandangkan kawasan-kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak khususnya jauh ketinggalan dari segi pembangunan fizikal dan infrastruktur asas yang tentu sekali memerlukan peruntukan yang tinggi,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jemaah Menteri menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Mengambil contoh projek pembangunan melibatkan JKR Anwar menegaskan, ia tidak perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Kata Anwar, keputusan itu dibuat bagi mengelak kerenah birokrasi yang menyebabkan banyak projek JKR di Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here