KBS masih bincang dengan PSM isu 21,000 tempat duduk kosong

0
3

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih berbincang bagi mencari mekanisme terbaik berhubung isu 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional di Bukit Jalil yang terpaksa dikosongkan angkara konsert artis antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihaknya masih belum dapat memberi jawapan sama ada 21,000 tempat duduk itu boleh dikembalikan kerana masih di peringkat perbincangan bersama PSM.

“Saya sudah diberi taklimat berkenaan masalah yang kita hadapi Sabtu ini dan kita sudah berbincang dengan perbadanan stadium. Kita masih dalam proses perbincangan. Itu sahaja yang saya boleh cakap ketika ini

“Perbincangan ini tentang masalah yang kita ada, pertembungan dua acara besar dalam masa satu minggu.

“Bukan saya tak mahu cakap tetapi kita sedang berusaha, jadi saya harap semua faham,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau ditemui media selepas melawat Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil bersama Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Semalam FAM memaklumkan hanya 59,000 tiket dijual bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, ini kerana 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ berikutan dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

Terdahulu hari ini, FAM mengumumkan semua 59,000 tiket bagi aksi separuh akhir pertama itu habis terjual.

FAM turut memaklumkan tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan, sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium.

Berikutan itu penyokong Harimau Malaya meluahkan rasa kecewa dan marah susulan 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here